ALQUDS DI HATI

Wednesday, July 14, 2010

BUKTI 10 KESILAPAN GOLONGAN ANTI HADITH

Orientalis ialah para sarjana Barat yang mengkaji dan menyelidik ilmu-ilmu ketimuran, iaitu segala yang berkaitan dengan bahasa, sejarah, budaya, tamadun dan peradaban negara-negara Timur.[1] Apabila yang dikaji mereka adalah bersangkutan dengan agama Islam, gelaran orientalis disandarkan kepada sarjana-sarjana bukan Islam Barat yang mengkaji dan menyelidik agama Islam.

Antara ilmu-ilmu Islam yang turut menjadi perhatian para orientalis adalah ilmu-ilmu yang berkaitan dengan hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Minat mereka dalam jurusan ini amat luas, malah dalam beberapa sudut boleh dikatakan bahawa jurusan inilah yang paling diberi perhatian oleh mereka, melebihi jurusan pengkajian al-Qur’an, syari’at, sejarah dan sebagainya. Banyak kajian yang mendalam lagi terperinci dijalankan oleh mereka dan banyak buku-buku, jurnal dan artikel yang mereka tulis. Umumnya hasil kajian mereka menyimpulkan bahawa tidak ada hadis-hadis yang sahih daripada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Hadis-hadis sebenarnya adalah reka-cipta umat Islam dalam kurun kedua dan ketiga hijrah yang mereka sandarkan kepada sebutan dan perbuatan Rasulullah. Pengkajian dan penyemakan isnad pula hanya dapat menapis hadis secara longgar, jauh sekali dari ketepatan yang dikatakan. Malah adakalanya isnad itu sendiri dicipta oleh ahli-ahli hadis untuk membenarkan diri mereka sendiri.

Hasil-hasil pengkajian mereka ini akhirnya sampai ke tangan umat Islam khususnya para pelajar kita yang berada di pusat pengajian tinggi negara-negara Barat, dibaca, dipelajari, diyakini, dipegangi, lalu akhirnya terus disisihkan hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dari syari’at Islam. Keyakinan sementara umat Islam ini terhadap kesimpulan kajian sarjana orientalis bukanlah kerana ia adalah benar lagi tepat, tetapi adalah kerana:

[1] Terperdaya dengan method kajian sarjana orientalis yang kononnya ilmiah dan saintifik. Kaedah ini menurut mereka pasti membuahkan hasil yang benar lagi tepat, tanpa perlu lagi diulang kaji dan disemak semula.

[2] Terpengaruh dengan bahan-bahan rujukan orientalis yang terdiri daripada kitab-kitab klasik Islam sendiri. Justeru apabila para sarjana orientalis merumuskan fahaman dan hujah daripada kitab-kitab Islam sendiri, apa lagi yang dapat diperkatakan kecuali menerimanya sahaja.

[3] Tidak memiliki ilmu yang secukupnya dalam bidang hadis untuk mengukur dan menapis hasil-hasil penemuan para sarjana orientalis.

Sememangnya amat sukar untuk mengelakkan tiga faktor di atas dari membelenggu umat Islam sama ada di masa lalu, masa kini atau masa hadapan. Akan tetapi yang memusykilkan penulis adalah – kenapakah ada di antara umat Islam yang mudah terpengaruh dengan hujah-hujah sarjana orientalis – lebih tepat sarjana Yahudi dan Nasrani - padahal dalam al-Qur’an banyak kali diberi peringatan dan amaran agar tidak mengikut dan menyakini orang-orang sedemikian dalam urusan agama. Sekalipun seseorang itu tidak mengenal dengan baik akan ayat-ayat al-Qur’an yang dimaksudkan, sudah tentu naluri hati (instinct) serta bisikan iman dan taqwanya akan mencegah dirinya daripada menyakini, mahupun membaca hasil-hasil tulisan sarjana-sarjana orientalis mengenai Islam.

Allah Azza waJalla telah beberapa kali memberi peringatan dan amaran dalam al-Qur’an berkaitan hubungan kita dengan orang bukan Islam, khususnya kaum Yahudi dan Nasrani, antaranya:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu. [al-Mumtahanah 60:01]

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.[al-Maidah 5:51]

Seterusnya Allah Subhanahu waTa’ala memberi peringatan bahawa orang-orang bukan Islam, khususnya Yahudi dan Nasrani tidak akan sekali-kali berpuas hati dengan umat Islam dan agama Islam kecuali apabila mereka berjaya menarik umat kepada kekafiran atau ke arah agama mereka sendiri. Firman Allah:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). Merekatidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya. [‘Ali Imran 3:118]

Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian). [al-Baqarah 2:217]

Jika mereka dapat menguasai kamu, nescaya mereka menjadi musuh yang membahayakan kamu, dan mereka akan membebaskan tangan mereka dan lidah mereka terhadap kamu dengan kejahatan, serta mereka suka kalaulah kamu juga menjadi kafir (seperti mereka). [al-Mumtahanah 60:02]

Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran. [al-Baqarah 2:109]

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu sehingga engkau menurut agama mereka. Katakanlah (kepada mereka): Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. [al-Baqarah 2:120]

Lebih memburukkan adalah apabila orang bukan Islam diberi tumpuan manakala orang Islam dibelakangkan:

(Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah.

Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintah-Nya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahannam. [an-Nisaa’ 4:139-140]

Selain itu Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam pernah berpesan kepada umatnya:

Janganlah bertanya kepada Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) berkenaan apa-apa kerana sesungguhnya mereka tidak akan dapat memberi petunjuk kepada kamu apabila mereka sendiri dalam kesesatan. Jika kamu menerima dari mereka sesuatu, sama ada kamu akan mempercayai apa yang batil atau menolak apa yang hak.[2]

Amaran-amaran serta peringatan-peringatan Allah Subhanahu waTa’ala di atas jelas melarang kita daripada menjadikan orang-orang bukan Islam, khususnya kaum Yahudi dan Nasrani, menjadi teman rapat. Terjemahan teman rapat dalam dua ayat pertama di atas adalah dari perkataan auliya' yang berasal dari kata dasar wali. Ia bererti, sebagaimana konteks ayat, melarang kita dari menjadikan mereka sebagai teman setia, teman seperjuangan, sekutu, rakan perjanjian dan tempat bergantung keyakinan dan pertolongan. Orang-orang bukan Islam tersebut cenderung menarik umat Islam ke arah kekafiran dengan menabur pelbagai benih keraguan dan syak wasangka ke atas dasar-dasar ajaran Islam.

Apabila telah jelas hal ini, maka sudah tentu terlarang bagi kita umat Islam untuk mempercayai dan menyakini sarjana-sarjana orientalis, atau lebih tepat ulama’-ulama’ bukan Islam dalam kajian dan rumusan mereka terhadap ilmu-ilmu Islam. Lebih terlarang adalah mempercayai mereka dan mengenepi ulama’-ulama’ Islam sendiri, seperti menyakini hujah-hujah mereka yang meragui kesahihan hadis dan mengingkari hujah-hujah ulama’ Islam yang membenarkan hadis.

Terdapat dua perkara tambahan yang perlu diterangkan:

Pertama:

Kita tidak menolak pengkajian, penyelidikan dan hujah-hujah ilmiah sarjana orientalis secara mutlak dan menyeluruh. Kita mengalu-alukan sikap rajin, kerja keras dan minat mendalam mereka kepada agama Islam kerana ini merupakan salah satu cara yang memungkinkan mereka menerima Islam. Malah tidak dinafikan juga bahawa kita sendiri adakalanya mempelajari beberapa perkara baru hasil dari penemuan mereka. Sikap kita yang benar dalam hal ini adalah menerima apa yang betul dan menolak apa yang salahsetelah dilakukan semakan dan penetilian semula secara adil dan saksama. Yang ditegah adalah sikap sesetengah kita yang secara gelojoh menerima seratus-peratus hujah sarjana orientalis dan menolak sepenuhnya hujah sarjana Islam tanpa sebarang kajian ilmiah mahupun perbandingan lanjut. Inilah sikap negatif yang perlu diperbetulkan tanpa sebarang kelengahan.

Kedua:

Penghujahan ayat-ayat di atas tidaklah bermakna bahawa Islam melarang umatnya dari berurusan dan berinteraksi dengan orang-orang bukan Islam. Kita hanya dilarang berurusan dalam perkara yang bersangkutan dengan agama, pengecualian ini terkandung dalam salah satu ayat yang dinukil di atas:

Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintah-Nya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahannam. [Maksud surah an-Nisaa’ 4:140]

Perhatikan pengecualian dalam ayat di atas: ......sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain...... . Ayat di atas jelas melarang umat Islam daripada duduk sama, yakni mengikuti dan bersubahat dengan orang-orang bukan Islam jika mereka mempermain-mainkan kitab al-Qur’an – umumnya termasuk mempersendakan agama Islam – kecuali apabila mereka menukar subjek perbincangan kepada selain yang berkaitan dengan al-Qur’an dan agama Islam.

Keterangan di atas diperkuatkan lagi oleh ayat berikut:

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. [al-Mumtahanah 60:8-9]

Selain dari urusan agama, Islam membebaskan umatnya untuk berurusan, berinteraksi, menerima pakai dan mengambil manfaat dari apa jua hasil tangan orang-orang bukan Islam. Islam tidak menyuruh umatnya untuk membenci kaum yang berlainan agama sehingga berlaku tidak adil kepada mereka, sepertimana tegas Allah Subhanahu waTa’ala:

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. [al-Maidah 5:08]

Sekalipun terhadap kaum Yahudi dan Nasrani, Allah Subhanahu waTa’ala menyuruh kita umat Islam untuk berinteraksi dengan mereka dengan cara yang sebaiknya, kecuali apabila mereka membuka langkah menzalimi dan mendahului dengan kekejaman. Firman Allah:

Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka. [al-Ankabut 29:46]

Perbandingan antara ayat-ayat di atas jelas menunjukkan bahawa larangan Islam terhadap orang-orang bukan Islam bukanlah mutlak dalam semua urusan tetapi hanya kepada apa yang berkaitan dengan urusan agama. Perkara ini juga dapat dilihat dalam hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang disebut sebelum ini: Janganlah bertanya kepada Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) berkenaan apa-apa kerana sesungguhnya mereka tidak akan dapat memberi petunjuk kepada kamu apabila mereka sendiri dalam kesesatan. Jika kamu menerima dari mereka sesuatu, sama ada kamu akan mempercayai apa yang batil atau menolak apa yang hak. Perkataan petunjuk dankesesatan yang digunakan oleh Rasulullah dalam hadisnya ini jelas menunjukkan bahawa yang dimaksudkan beliau adalah dalam urusan agama sahaja, bukan selain itu. Sebelum ini juga telah dinukil hadis baginda (lihat Bhg A, Hujah ke-20) yang menganjurkan umat Islam mencari dan memanfaatkan ilmu dari mana sahaja mereka memperolehinya termasuk dari orang-orang bukan Islam: Kalimah al-Hikmah ialah barangan orang Islam yang hilang, di mana sahaja kamu menjumpainya kamu kamulah yang lebih berhak terhadapnya.

Seterusnya marilah kita melihat ragam dan pola kajian para sarjana orientalis terhadap hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Marilah kita melihat setakat manakah kebenaran kajian “ilmiah” dan “saintifik” mereka terhadap kitab-kitab klasik Islam.

Kajian kita akan ditumpukan kepada tiga sarjana besar hadis orientalis: Ignaz Goldziher (1921M), Joseph Schacth (1969M) dan G.H.A Juynboll. Method pengkajian penulis adalah dengan menggariskan dasar bentuk kesilapan dan disusuli dengan contohnya. Pengutaraan satu contoh hanyalah sebagai bukti sokongan, ia tidak bererti kesilapan tersebut dilakukan oleh mereka sekali sahaja.

No comments:

Post a Comment